Persembahan warna-warni meriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri YSHHB





Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Azmah Haji Ahad, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Alishahrin Haji Mumin​





BERAKAS, Isnin, 22 April. - Keceriaan suasana Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1445 Hijrah / 2024 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, diserikan lagi dengan penglibatan golongan belia serta kanak-kanak yang turut sama mewarnai persembahan pentas dengan membawakan tema 'Membudayakan Belia Pemedulian dan Prihatin'.


Berangkat bercemar duli memeriahkan lagi majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.

 

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja yang lain.  


Seramai 165 orang terdiri daripada para pelajar Sekolah YSHHB, iaitu gabungan dari Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA), murid-murid sekolah rendah dan para pelajar sekolah menengah dengan pimpinan tenaga pengajar sekolah berkenaan.


Terdahulu, persembahan pentas dimulakan dengan persembahan nasyid, iaitu 'Selawat Allahul Kahfi' oleh murid-murid TASKA diikuti dengan persembahan koir dengan lagu berjudul 'Syukur' yang dipersembahkan oleh para pelajar sekolah rendah.


Persembahan diteruskan lagi dengan tarian bertajuk 'Joget Sayang Di Sayang' oleh para pelajar sekolah menengah dan 'Ayam Didik dan Joget Penghibur' yang disembahkan oleh murid-murid TASKA.


Sambutan berkenaan juga turut dimeriahkan lagi dengan persembahan mukun dan juga Tausyeh.


Dalam pada itu, Pelita Brunei berkesempatan menemu bual beberapa pelajar sekolah menengah mengenai penyertaan mereka dalam persembahan pentas sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1445H / 2024M anjuran YSHHB.


Pelajar Tahun 8, Awang Muhammad Daniey Akmar bin Adi Akmar, ketika ditemui berasa sangat gembira dan teruja kerana diberi peluang untuk menyertai persembahan pada tahun ini.


Beliau yang menyertai buat kali kedua mengongsikan bahawa beliau telah pun membuat latihan selama beberapa minggu dan terlibat dalam tiga persembahan, iaitu tarian; 'finale'; dan 'grand finale'.


Sementara itu, pelajar Tahun 9, Dayang Nur Syasya Izzati binti Awang Abdul Mutalif, juga menjelaskan penyertaannya ini adalah kali kedua dalam persembahan pentas tahun ini meskipun berasa gementar, namun dia berasa sangat gembira dan teruja kerana diberi peluang untuk membuat persembahan tarian bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.


Close